Sabtu, 25 Mei 2013

Karangan Pendapat


Beri pendapat anda tentang faedah bercucuk tanam. (PMR)

Isu kekurangan bekalan makanan dan kenaikan harga barang kini menjadi isu yang hangat dibincangkan dalam kalangan masyarakat. Salah satu jalan penyelesaian terhadap masalah ini adalah dengan menjalankan aktiviti bercucuk tanam. Kerajaan sentiasa menggalakkan masyarakat bercucuk tanam di sekitar kawasan rumah. Antara tanaman yang boleh diusahakan termasuklah cili, serai dan sayur-sayuran seperti kacang panjang, terung dan sawi. Hakikatnya, banyak faedah yang diperoleh daripada aktiviti sedemikian.
Salah satu faedah bercucuk tanam ialah penjimatan kos perbelanjaan keluarga. Jika sesebuah rumah terletak jauh dari pasar atau dari kedai runcit, pasti kos perbelanjaan terpaksa ditambah kerana perlu mengira kos perjalanan. Harga barang keperluan yang sentiasa meningkat turut membebankan keluarga yang berpendapatan rendah. Apabila bercucuk tanam di sekitar kawasan rumah, suri rumah tidak perlu kerap ke pasar untuk membeli sayur-sayuran. Pada waktu yang sama, langkah berjimat cermat dalam perbelanjaan dapat diambil bagi menjamin kesejahteraan hidup. Hal ini bertepatan dengan peribahasa, “beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis”.
Selain itu, aktiviti bercucuk tanam dapat mengelakkan tanah daripada terbiar. Seperti yang dimaklumi, tanah yang terbiar selalunya didiami oleh haiwan berbisa seperti ular dan kala jengking. Dengan bercucuk tanam, haiwan berkenaan tidak berpeluang berkeliaran atau membiak, sekali gus keselamatan ahli keluarga tidak terancam. Apabila sekitar kawasan rumah dibersihkan dan ditanam dengan pelbagai tanaman hijau, sudah semestinya menyegarkan setiap mata yang memandang. Hal ini menggambarkan kerajinan tuan rumah dan akan mendorong orang lain supaya bercucuk tanam. 
Bercucuk tanam di sekitar kawasan rumah juga dapat dijadikan aktiviti berfaedah bagi mengisi masa senggang. Pada waktu yang sama, aktiviti ini dapat menyihatkan tubuh badan seseorang. Ibu bapa yang bercucuk tanam bersama-sama dengan anak-anak dapat menambahkan kemesraan sesama ahli keluarga dan dapat mengelakkan anak-anak daripada terlibat dengan aktiviti yang tidak sihat seperti 
melepak tanpa arah, vandalisme dan lumba haram. Ibu bapa juga dapat mengawasi pergerakan anak-anak mereka.
Amalan kerjasama dalam kalangan ahli keluarga juga dapat diterapkan melalui aktiviti bercucuk tanam ini. Jika aktiviti dilakukan bersama-sama dengan anak-anak, pengagihan kerja biasanya dilakukan agar tanaman hidup subur dan mengeluarkan hasil yang banyak. Mereka juga perlu memastikan tanaman tidak dirosakkan oleh serangga perosak. Lebih bermakna lagi, persefahaman antara ahli keluarga dapat dibentuk dan nilai kekeluargaan bertambah kukuh.
Sebagai kesimpulan, sudah terang lagi bersuluh bahawa aktiviti bercucuk tanam di sekitar kawasan rumah banyak mendatangkan faedah. Oleh hal yang demikian, jika saranan  ini diaksanakan oleh setiap anggota masyarakat, maka masalah kekurangan bekalan makanan dapat diatasi. Sesungguhnya, benar kata orang tua-tua dahulu, “berbudi kepada tanah, lambat-laun akan mendatangkan kebaikan kepada kita.”

1 ulasan: